Rabu, 23 November 2011

Lafaz Niat Solat 2


Perkataan seterusnya ialah أَدَاءً   yang bermaksud ditunaikan atau dilaksanakan.  أَدَاءً   bermakna solat yang sebenarnya atau sepatutnya pada masa itu.  Jika solat itu solat yang tertinggal, yang tidak dikerjakan atau dilaksanakan pada suatu masa terdahulu, maka perkataan أَدَاءً   ini digantikan dengan قَضَاء .  Jika solat yang hendak dikerjakan adalah solat yang diringkaskan/dipendekkan قَصَرَ   ,   iaitu yang melibatkan solat zohor, ‘asar dan Isya’,  قَصْرً  diletakkan di tempat yang sama, diikuti dengan menyebut dihimpunkan kepadanya ‘asar  إلىهِ الْعَصْرِ  مَجْمُوعاً  atau dihimpunkan ke ‘asar  مَجْمُوعًا إلى العَصْرِ  selepas itu, di mana rangkai kata pertama adalah sembahyang jama’ zohor dan ‘asar di waktu zohor, dan rangkai kata kedua adalah sembahyang jama’ zohor dan ‘asar di waktu ‘asar. 
Jika solat berjemaah, hendaklah menyebut إِمَامًا    ‘sebagai imam’ atau مَأْمُوْمًا   ‘sebagai makmum’ sebelum menyebut  أَدَاءً   . Akhir sekali  لِلهِ تَعَالَى bermaksud ‘kerana Allah Ta’ala’. Imbuhan لِ  menunjukkan maksud kerana atau untuk.  لَه  maknanya Allah. Oleh itu, makna sepenuhnya lafaz niat sembahyang Subuh di atas ialah, ‘(Sahaja) aku sembahyang/bersolat fardhu Subuh, dua raka’at, tunai kerana Allah Ta’ala’.  Perkataan ‘sahaja’ bukan terjemahan dari lafaz bahasa Arab, tetapi merupakan kata-kata sopan bahasa Melayu, menunjukkan sifat rendah diri dan keredaan untuk menunaikan solat.
Lafaz niat ini adalah sunat sahaja.  Apabila melafazkannya hendaklah memastikan suara kita tidak mengganggu orang lain, terutama sekali jika kita masbu’ (masuk berjemaah semasa solat sudah berjalan), di mana jemaah di sebelah kita sedang bersembahyang mengikut imam.  Kita hendaklah memastikan suara kita paling perlahan.  Jika kita bimbang suara kita mengganggu jemaah lain, jangan lafazkan, kerana hukum lafaz niat  adalah sunat. 
Semasa Takbiratul-ikhram pula, suara takbir hendaklah juga perlahan, tetapi cukup untuk dapat didengar oleh jemaah yang paling hampir sahaja. Ini penting jika terdapat penyesuaian sof yang perlu dibuat.  Perkara in akan dihuraikan kemudian bila berbangkit nanti.

Latihan Kefahaman
1.       Berikan makna setiap perkataan dalam lafaz niat solat berikut
أُصَلِّى فَرْضَ الصُبْحِ رَكْعَتَيْنِ إِمَامًا اَدَاءً لِلهِ تَعَالَى

1
أُصَلِّى فَرْضَ الصُبْحِ رَكْعَتَيْنِ مَأْمُومًا اَدَاءً لِلهِ تَعَالَى

2
أُصَلِّى فَرْضَ المَغْرِبِ ثَلَاثَ رَكَعَةٍ اَدَاءً لِلهِ تَعَالَى

3
أُصَلِّى فَرْضَ المَغْرِبِ ثَلَاثَ رَكَعَةٍ مَجْمُوعًا إِلَيْهِ الْعِشَاءُ اَدَاءً لِلهِ تَعَالَى

4
      أُصَلِّى فَرْضَ العِشَاءُ رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا لِلهِ تَعَالَى

5
أُصَلِّى فَرْضَ المَغْرِبِ ثَلَاثَ رَكَعَةٍ مَجْمُوعًا إِلَى الْعِشَاءُ اَدَاءً لِلهِ تَعَالَى

6
     أُصَلِّى فَرْضَ العِشَاءُ رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا اَدَاءً لِلهِ تَعَالَى

7
2.       Lafazkan niat solat-solat berikut
a.       Subuh sebagai makmum
b.      Zohor bersendirian
c.       Zohor diringkaskan di waktu Zohor atau Jama’ takdim.
d.      Asar yang diringkaskan di waktu Asar
3.       Apakah beza antara niat solat yang diringkaskan di no. 5 dan no. 7  pada soalan no. 1 di atas?
4.       Senaraikan sebanyak mungkin kata terbitan yang terbina dari kata kerja قَصَرَ , صَلَّى dan فَرَضَ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan